MOHD Khyril Muhymeen Zambri menyifatkan pengalaman bersama Harimau Malaya sewaktu menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 seumpama mimpi dalam mimpi.
Menurutnya, sejak kejayaan pasukan negara menjulang kejuaraan itu buat pertama kalinya, beliau dan rakan menerima beratus-ratus khidmat pesanan ringkas(SMS) daripada kawan rapat, peminat bola sepak dan pemimpin politik tempatan yang tidak putus-putus mengucapkan tahniah di atas kejayaan mereka.
Mohd Khyril turut tidak menang tangan melayan kerenah ribuan peminat tempatan melalui akaun Twitter dan Facebook yang sering menghantar mesej memuji persembahan skuad negara dan mengakui terkejut dengan status ‘glamour’ yang baru dikecapi.
“Keadaan sekarang sama sekali berbeza dengan sewaktu kami memenangi pingat emas pada Sukan Sea lalu di mana kami dilayan seperti selebriti setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA).
“Kami berasa bangga diberikan penghargaan tertinggi rakyat Malaysia dan berharap dapat mengekalkan keyakinan mereka pada masa depan,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Khyril turut memuji keajaiban sentuhan Rajagobal yang bijak mengatur strategi di samping sentiasa yakin dengan kebolehan anak buah.
“Saya anggap kejayaan kali ini adalah hadiah paling bermakna skuad negara terhadap kepercayaan diberikan beliau,” katanya.
Ditanya sasarannya pada tahun baru 2011, Mohd Khyril berazam untuk mengekalkan rentak kemenangan dengan membantu mengembalikan kegemilangan pasukan Kedah untuk merangkul ‘treble’ ketiga selepas 2007 dan 2008.
“Pada masa sama, saya juga berjanji untuk memperbaiki lagi permainan memandangkan masih banyak ruang buat skuad negara untuk menjadi lebih baik sekali gus mengekalkan rentak kecemerlangan di peringkat antarabangsa,” katanya.
Kredit : http://www.sinarharian.com.my/
0 comments:
Post a Comment