Shila cari calon suami

January 3, 2011
Usia muda bukan halangan untuk berumahtangga

KETIKA remaja sebaya dengannya ligat bertukar ganti teman lelaki dan hanya tahu berhibur, tetapi dia sudah berpandangan jauh dari segi masa depannya. Bukan kerana kolot ataupun mahu menjadi dewasa sebelum waktunya tetapi menurut anak gadis pelakon dan penyanyi ND Lala ini, ketika usia muda dia harus memikirkan masa depannya dengan lebih mendalam.


Bukan saja dari segi kerjaya seninya tetapi bagi bekas bintang realiti One In A Million, Nurshahila Amir Hamzah atau kini lebih dikenali dengan Shila Hamzah, dia juga sudah mula memikirkan soal mendirikan rumah tangga walaupun ramai yang berpendapat, usianya yang baru mencecah 20 tahun terlalu muda untuk berbicara soal teman hidup dan juga perkahwinan.

Duduk bersembang dengan Shila sewaktu dia menghadiri majlis pra dengar album 3 Suara yang diadakan di pejabat Sony Music di Solaris Dutamas baru-baru ini, Shila telus mengatakan yang dia memang sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga.

Sebabkan itulah dia kini mahu serius mencari lelaki yang bukan saja kukuh sumber kewangan tetapi bertanggungjawab.

“Saya sedar tentu ramai yang mengatakan masih terlalu awal untuk Shila bercakap soal teman hidup dan juga perkahwinan kerana bagi mereka dalam usia yang masih muda seperti ini, Shila seharusnya enjoy saja dan tak perlu memikirkan perkara yang boleh membuat fikiran serabut. Tapi bagi Shila, kita kena ada perancangan teliti dan dalam soal berumah tangga Shila tak suka ambil mudah.

“Shila sebenarnya membuat kajian di internet mengenai perceraian di negara ini dan juga puncanya. Disebabkan itulah ramai kawan Shila berkata yang mereka tidak layak untuk berkawan dengan Shila disebabkan pemikiran Shila yang jauh berbeza dengan mereka. Bayangkan ada sesetengah teman Shila berkata mereka mencari teman lelaki di waktu sekarang hanyalah untuk berseronok saja dan untuk bakal suami, mereka akan cari lelaki lain. Shila tak mahu membazirkan masa begitu saja,” kata penyanyi yang terkenal dengan lagu Memori Tercipta ini.
Ditanya apakah pencariannya itu berakhir dan bagaimana gosip dengan pemain bola sepak negara, Haziq Zikri?

Shila menegaskan dia menafikan menjalinkan hubungan dengan pemain pasukan Harimau Muda itu.

“Seperti yang Shila katakan tadi, Shila berkawan dengan ramai lelaki dan ada di antara mereka itu boleh dikatakan calon yang sesuai untuk menjadi bakal teman hidup saya. Setakat ini kebanyakan lelaki yang saya kawan, usia mereka lebih tua dari saya. Tapi taklah tua sangat, paling tua umurnya adalah 30 tahun,” cerita Shila sambil tertawa kecil.

Diaju dengan pertanyaan mungkin Shila terlalu rapat dengan ibunya dan wanita itu sentiasa di sisinya membuatkan ramai lelaki takut untuk mendekatinya, tegas penyanyi ini, perkara itu tidak sepatutnya menjadi alasan.

“Kenapa takut. Kalau ikhlas untuk berkawan dengan saya, tak perlu risau. Jika mereka betul mahukan saya, mereka haruslah mengambil hati ibu saya dan bukannya menjadikan ibu saya sebagai batu penghalang. Tak perlu takut, ibu saya tak makan orang,” kata Shila berseloroh.

Jadi artis indie?

BUKAN pertama kali Shila meluahkan perasaan kecewanya apabila lagu dari album Bebaskan tidak kedengaran di radio. Sudah kerap sehingga menjadi rendah diri apabila memperkatakan mengenai album sulungnya bersama syarikat rakaman Monkey Bone itu.

Kata Shila, kalau ada pun diputarkan, ia tidak berterusan sehingga dia sendiri malu untuk menyanyikan lagunya dalam mana-mana pertunjukan pentas disebabkan tidak ramai yang tahu kewujudan albumnya itu.

Katanya lagi, bukan tidak ada usaha untuk dia memperkenalkan album itu tetapi jika segala usaha yang dilakukan tidak mendapat sokongan stesen radio, pastinya semua usaha itu sia-sia belaka.

“Apabila ditanya mengapa mereka tidak mahu memutarkan lagu saya, jawapan yang diterima adalah, single yang diberikan terlalu urban dan tak sesuai untuk konsep stesen radio berkenaan. Tidak mahu memanjangkan cerita, pihak label menyerahkan album saya dan mengharapkan radio menyiarkan mana-mana lagu yang sesuai kerana tidak semua lagu saya berentak rancak.

“Bagaimanapun, usaha itu tidak menampakkan hasil dan lagu saya langsung tidak kedengaran,” katanya dalam nada terkilan.

Walaupun nasibnya dalam bidang nyanyian tidak secerah penyanyi lain, namun tegas Shila dia tidak pernah berputus asa dan sentiasa bersikap positif bahawa satu hari nanti bintangnya akan bersinar juga.

Dalam diam, dia merancang sesuatu untuk memperkembangkan lagi kerjaya seninya.
“Kontrak saya dengan Monkey Bone masih berbaki dua album. Itu tempoh saya buat pilihan, sama ada mahu meneruskannya atau tidak. Jika saya memilih tidak mahu meneruskan, mungkin saya bergerak sendiri.

“Orang lain dari dunia indie bergerak ke arah arus perdana. Tapi saya terbalik, dari arus perdana bertukar menjadi artis indie. Walaupun mungkin sukar tapi saya rasa itu pilihan terbaik,” jelas Shila.

Mengulas pembabitannya dalam album 3 Suara yang turut disertai dua penyanyi hebat iaitu Jaclyn Victor dan Ning Baizura, Shila mengakui teruja kerana selain berpeluang bergandingan dengan dua diva hebat, ia juga mengetengahkan bakat sebenarnya apabila berpeluang menyanyikan pelbagai jenis rentak lagu yang benar-benar mencabar keupayaan vokalnya.

Kredit : http://www.bharian.com.my/

0 comments:

Post a Comment

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))