JAKARTA: Ancaman kerajaan Indonesia menyekat penggunaan telefon pintar BlackBerry kecuali syarikat itu menapis laman sesawang lucah mencetuskan kemarahan meluas, semalam.
Kelmarin, Menteri Komunikasi dan Penerangan Indonesia, Tifatul Sembiring, memberi tempoh dua minggu kepada pengeluar BlackBerry, Research in Motion (RIM) untuk menyekat akses laman sesawang lucah daripada dilayari pengguna di negara itu.
“Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan kerajaan menutup operasi mereka di Indonesia kerana bercanggah dengan undang-undang negara ini,” katanya dipetik akhbar Jakarta Globe, semalam.
Ekoran itu, orang ramai menggunakan Twitter menyatakan bantahan masing-masing.
Seorang pengguna Twitter, Tiffanywilliam, berkata tiada jaminan bahan lucah dapat disekat jika BlackBerry diharamkan.
Menjelaskan kenyataan itu, Tafitul berkata, dia hanya melaksanakan tugas mengikut peruntukan undang-undang Indonesia.
Katanya, RIM perlu menghormati dan mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan.
“Mereka juga perlu membuka pejabat dan pusat perkhidmatan kepada lebih dua juta pengguna BlackBerry di Indonesia.
“Setakat ini RIM nampaknya masih berlengah-lengah memberikan komitmen,” katanya kepada hampir 149,000 pengikutnya di Twitter.
Kata Tifatul, sebagai sebuah negara adalah tidak wajar RIM melayan mereka dengan cara begitu.
Ketika ini, katanya, kerajaan tidak bercadang untuk berunding dengan RIM dalam isu itu.
“Jika mereka enggan mematuhi syarat ditetapkan di negara ini, tindakan akan diambil.
“Cukuplah dengan peluang yang diberikan,” katanya.
Ketika ini, dianggarkan kira-kira 40 juta warga Indonesia menggunakan Internet. - AFP
Kredit : http://www.hmetro.com.my/
0 comments:
Post a Comment