KUALA LUMPUR – Pimpinan Pas Pusat sudah memilih calon yang mewakili Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, 30 Januari ini.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, bagaimanapun identiti calon itu hanya akan diumumkan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu program di pekan Labis, Johor, 16 Januari ini.
Menurutnya, calon itu dipilih daripada senarai pendek yang diserahkan Pesuruhjaya Pas Negeri Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamad dan menegaskan dia adalah anak tempatan yang berasal dari Segamat.
“Kita sudah membuat keputusan siapa calon kita nanti, apa yang boleh saya cakap di sini ialah calon nanti adalah anak tempatan, jangan tanya lebih-lebih, tunggu 16 Januari nanti,” katanya selepas mesyuarat AJK Pas Pusat, di sini, semalam.
Ditanya keyakinan Pas pada pilihan raya kecil itu, Mustafa yang juga Pesuruhjaya Pas Negeri Terengganu menjelaskan tidak mustahil PR boleh membuat kejutan di DUN Tenang walaupun umum mengetahui Johor adalah kubu kuat UMNO.
Katanya, pada pilihan raya kecil itu nanti, semua parti komponen PR akan turun bersama-sama dan sasaran utama adalah mengurangkan majoriti undi yang dimenangi Barisan Nasional (BN) di kawasan berkenaan.
“Semua tahu DUN Tenang ini kubu kuat UMNO sejak dulu lagi, tetapi perubahan berlaku pada hari ini, jadi tidak mustahil untuk kita melakukan kejutan.
“Kita juga kerahkan Dewan Himpunan Penyokong Pas yang terdiri dari bukan Islam untuk bersama-sama meraih sokongan di sana,” katanya.
Selain itu, Mustafa turut menegaskan Dewan Pemuda Pas sudah menggerakkan 500 orang jentera pilihan raya selain bantuan daripada setiap negeri.
Sementara itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub pula menegaskan walaupun DUN Tenang mempunyai gugusan Felda yang besar dan menjadi penyokong kuat UMNO selama ini, ia tidak menjadi halangan kepada Pas untuk terus mendapatkan sokongan.
Katanya, sejak kebelakangan ini, banyak isu Felda terutamanya isu yang dibawa Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) membantu PR mendapatkan sedikit sebanyak sokongan daripada warga Felda.
“Diharap isu yang dibawa Anak lebih memudahkan kita untuk menembusi kubu kuat UMNO kali ini,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan :tarikh penamaan calon pilihan raya kecil DUN Tenang, 22 Januari dan pengundian diadakan pada 30 Januari ini.
Kredit : http://www.sinarharian.com.my/
0 comments:
Post a Comment