SHAH ALAM: Akibat terpedaya lakonan seorang wanita yang berpura-pura mahu menjadi pengedar produk kecantikan dan kesihatan, dua usahawan Bumiputera mengalami kerugian hampir RM15,000 apabila menerima bayaran melalui cek tendang.
Mangsa, Muhamad Ibrahim Abdul Halim, 30, dan Rozaimah Md Yusof, 32, didatangi suspek yang berperwatakan seakan-akan ‘Mak Datin’ dalam dua kes berasingan masing-masing di Seksyen 13, di sini, dan di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, Oktober lalu.
Dalam kes pertama, Muhamad Ibrahim yang juga pengarah syarikat produk berasaskan kecantikan dan kesihatan, Silver Capsicum Holdings Sdn Bhd, berkata dia hanya menyedari ditipu selepas pihak bank memaklumkan cek yang diterima cek tendang ekoran akaun cek itu sudah lama ditutup.
Dia yang tidak berpuas hati cuba menghubungi suspek beberapa kali untuk memintanya menjelaskan bayaran terbabit, namun suspek melengahkan pembayaran serta memberikan pelbagai alasan sebelum mematikan telefon bimbitnya.
“Pada 20 Oktober lalu, saya terima panggilan seorang wanita yang memperkenalkan dirinya Kak Nor dan dia beritahu saya dia nak jadi stokis kami. Saya suruh dia datang ke pejabat untuk berbincang.
“Seminggu kemudian, dia datang pada jam lebih kurang 11 pagi bersama seorang perempuan yang didakwa anaknya. Selepas saya beri penerangan, dia bersetuju menjadi pengedar bagi pakej kami yang paling mahal.
“Saya minta dia isi borang dan selepas saya menyerahkan produk kami, dia pun keluarkan cek dan tulis jumlah bayaran RM8,305 sebelum menyerahkannya pada saya,” katanya ketika ditemui di Balai Berita, di sini, baru-baru ini.
Bagi kes kedua, Rozaimah menerima SMS daripada suspek pada 27 Oktober iaitu hari sama suspek memperdayakan Muhamad Ibrahim dan melarikan produknya.
Rozaimah berkata, dia menerima SMS terbabit di sebelah malam sebelum suspek datang ke pejabatnya dua hari selepas itu.
“Walaupun dia datang dalam keadaan tergesa-gesa, namun saya langsung tidak mengesyaki apa-apa, malah saya juga tidak meminta sebarang pengenalan diri daripadanya.
“Saya telefon dia setiap hari meminta bayaran seperti pengemis dan berkali-kali ke bank, tapi dia menipu,” katanya yang juga stokis Jamu Mak Dara.
Rozaimah berkata, suspek yang menyerahkan cek tendang bernilai RM5,130 itu mematikan telefon bimbitnya selepas sering dihubungi Rozaimah.
Kedua-dua mereka mengalami situasi sama dengan suspek menggunakan nama Fatahiah Che Ibrahim pada cek Ambank terbabit dan ketika kejadian, terdapat seorang wanita lain berusia awal 20-an menunggu di dalam kereta Proton Perdana warna perak yang bertindak sebagai pemandu.
Kredit : http://www.hmetro.com.my/
0 comments:
Post a Comment