Keluarga tak tahu Faizal hidap penyakit jantung

January 3, 2011

KUALA LUMPUR: ”Arwah adalah anak saudara yang paling saya sayang. Dia seorang yang baik, suka bergurau dan pandai menjaga hubungan dengan ahli keluarga.

Walaupun sedih, saya reda dengan apa yang berlaku,” kata Mohd Aris Abd Rahman, bapa saudara kepada pelakon, Allahyarham Faizal Mohd Yusof yang meninggal dunia akibat serangan jantung, kelmarin.

Katanya, sebagai antara orang yang paling rapat dengan Allahyarham, dia sendiri tidak mengetahui Faizal menghidap penyakit jantung kerana selama ini arwah tidak pernah memberitahu sesiapa mengenai penyakitnya itu.

“Kali terakhir saya bertemu arwah ialah pada Aidiladha lalu dan ketika itu, dia tidak menunjukkan sebarang perubahan, malah bergurau dengan ahli keluarganya seperti biasa,” katanya.

Jenazah Allahyarham Faizal,33, yang meninggal dunia di Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) jam 1.45 tengah hari kelmarin, disembahyangkan di Surau At-Taqwa, Sentul Utama di sini dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Batu Muda, Batu Caves kira-kira jam 10 pagi.

Turut menziarahi Allhayarham ialah rakan artis antaranya Corrie Lee, Rosyam Nor, Zamarul Hisham, Kartina Aziz, Deen Maidin dan Aida Khalida.

Sementara itu, Corrie berkata, pemergian Allahyarham satu kehilangan dalam industri seni tanah air kerana arwah seorang yang begitu komited dan disenangi semua pihak.

“Arwah memang dikenali dengan sifatnya yang suka bergurau dan tidak banyak kerenah ketika di lokasi. Saya memang sudah lama mengenalinya tetapi hanya berpeluang untuk berlakon bersama dalam drama Shubhah yang ditayangkan sempena hari raya Aidilfitri dan bekerjasama dalam sebuah filem pendek, Turning Point, November lalu.

“Peribadinya yang jujur membuatkan dia disenangi rakan dalam industri dan sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam setiap drama yang dibintanginya,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Seniman, Harun Salim Bachik, berkata pihaknya akan menyalurkan bantuan kepada keluarga Allahyarham untuk membantu meringankan beban kerana semasa hayatnya, arwah begitu komited dengan aktiviti persatuan seni itu.

“Seniman mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan meminta mereka bersabar dengan apa yang berlaku,” katanya.

Kredit : http://www.hmetro.com.my/

0 comments:

Post a Comment

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))