Negara Islam impian Pas selama-lamanya

January 19, 2011

KUALA LUMPUR - Impian menjadikan negara ini sebagai sebuah negara Islam akan terus kekal menjadi perjuangan Pas selama-lamanya walaupun parti tersebut bekerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR).

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, impian tersebut akan terus subur dalam Pas walaupun dasar PR dalam buku jingga yang dikeluarkan baru-baru ini tidak menyentuh mengenai penubuhan sebuah negara Islam.

Menurutnya, setiap parti komponen dalam PR mempunyai impian masing-masing, begitu juga DAP dengan impian ‘Malaysian Malaysia’, namun ia bukan penghalang bagi parti-parti ini bekerjasama.

“Rakan-rakan sering bertanya soalan ini, terus-terang saya katakan sebuah negara Islam adalah impian Pas untuk selama-lamanya, namun pada masa sama kami tidak halang impian DAP.

“Itu adalah kerana impian masing-masing tetapi ia bukan menjadi dasar PR seperti yang disepakati bersama, perkara ini disebut permuafakatan politik atau tahaluf siasi,” katanya pada forum Janji 100 Hari Pakatan Rakyat di sini semalam.

Selain itu, Dzulkefly turut menegaskan Pas terus bersama PR kerana mahu membanteras kezaliman dan kebobrokan pentadbiran kerajaan sekarang yang semakin menekan rakyat terutamanya salah urus tadbir dan kenaikan harga barang.

Katanya, Pas lebih selesa bersama DAP dan PKR daripada UMNO-Barisan Nasional (BN) kerana matlamat bersama untuk membetulkan kepincangan amanah yang diberikan Allah SWT.

Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor turut menegaskan soalan ini sering digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk merosakkan hubungan Pas dengan parti komponen lain dalam PR.

“Ingin saya tegaskan jangan jadikan soalan ini sebagai medium untuk pecah dan perintah kami, kamu tidak akan berjaya,” katanya.

Kredit : http://www.sinarharian.com.my/

0 comments:

Post a Comment

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))