GENEVA 29 Dis. - Tindakan Thailand mengusir 166 orang pelarian Myanmar kembali ke negara itu pada Sabtu lalu, walaupun mengetahui mereka adalah mangsa pertempuran antara tentera kerajaan dengan pemberontak etnik di perkampungan mereka di tenggara Myanmar, memaksa Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) mengeluarkan teguran, semalam.
Daripada jumlah itu, 50 adalah wanita, 70 kanak-kanak dan 46 orang lagi adalah lelaki dari perkampungan Wa Lay di wilayah Tak telah dipaksa kembali ke Myanmar, kata UNHCR dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, agensi tersebut memuji dasar Thailand yang membenarkan pelarian Myanmar itu memasuki Thailand ketika pertikaian itu tercetus.
UNHCR berpendapat, sekiranya Thailand ingin menghantar kembali pelarian itu, mereka perlu kembali secara sukerala dan berada dalam keadaan selamat.
"Mereka melarikan diri akibat pertempuran antara pihak kerajaan dan pemberontak di tenggara Myanmar, pelarian ini dikenali sebagai Karen," kata jurucakap UNHCR, Babar Baloch kepada Reuters di Geneva.
Tiada wakil Thailand pada persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva tampil untuk memberikan sebarang komen berhubung perkara tersebut.
Pemerintah Myanmar telah lama dituduh menganiaya kaum minoriti di negara tersebut, yang turut mencetuskan perpindahan berlanjutan penduduknya.
Terdapat seramai 150,000 pelarian Myanmar menetap di khemah-khemah rasmi di sepanjang sempadan Thailand-Myanmar. - REUTERS
Kredit : http://www.utusan.com.my/
0 comments:
Post a Comment