'Indonesia tidak sekuat Vietnam'

December 29, 2010
JAKARTA - Kapten Malaysia, Safiq Rahim melaungkan keyakinan Malaysia mampu sekali lagi menggempur benteng Indonesia dan sekali gus, memastikan gelaran juara Piala Suzuki AFF menjadi milik Harimau Malaya.


Pemain kelahiran Kuala Selangor itu berkata, kejayaan skuad negara menyekat kemaraan juara bertahan Vietnam di Hanoi sebagi bukti mereka mampu mengulangi kecemerlangan sama ketika turun menentang Indonesia.

''Jika Vietnam kami mampu sekat ketika beraksi di Hanoi, saya rasa tiada alasan yang kami tidak boleh mengulanginya semasa bertemu Indonesia.

''Bagi saya, cara permainan skuad Indonesia tidak berbahaya seperti Vietnam atau Thailand," itu pengakuan kapten Malaysia, Safiq Rahim menjelang pertemuan getir berdepan Indonesia pada perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno, malam ini.

Menurut Safiq, kejayaan menyingkirkan Vietnam di separuh akhir banyak menyuntik semangat pasukan Harimau Malaya untuk beraksi lebih baik ketika berdepan Indonesia.

''Walaupun, kami bermain dalam cuaca sejuk di Hanoi pada separuh akhir kedua, kami mampu membendung setiap asakan Vietnam ketika beraksi di gelanggang lawan.

''Saya lihat kami boleh mengulangi kecemerlangan yang sama, tambahan pula kami sudah ada pengalaman beraksi di Bung Karno," katanya ketika ditemui di lobi Hotel Sultan, semalam.

Bagi mematahkan semangat melawan Indonesia, Safiq mahu rakan sepasukan mencari gol awal kerana pasukan tetangga itu sudah pasti memerlukan lima gol jika mahu mengatasi defisit Malaysia.

''Kami tidak akan bermain bertahan sepanjang perlawanan, jika boleh kami mahu mendapatkan gol awal terlebih dahulu kerana ia memberikan kelebihan jaringan di tempat lawan.

''Namun, seandainya kami dibolosi terlebih dahulu, saya akan pastikan rakan-rakan tidak cepat hilang semangat dan dapat mempertahankan bekalan yang kami bawa dari Kuala Lumpur," katanya.

Safiq menjelaskan, dia kini sudah mula terbayang untuk menjulang Piala Suzuki AFF di hadapan puluhan ribu penyokong lawan di Gelora Bung Karno.

Malah bertambah manis, kejayaan skuad negara itu dapat dilakar di hadapan penyokong fanatik Indonesia dan kejuaraan itu kelak merupakan yang pertama buat Safiq sebagai kapten pasukan kebangsaan.

''Bayangan menjulang trofi Piala AFF semakin berkobar-kobar dalam diri ini dan saya semakin teruja untuk merealisasikannya.

''Tetapi, masih ada 90 minit yang perlu kami selesaikan dan saya mahu rakan-rakan yang diturunkan pada perlawanan esok (hari ini) memberi fokus kepada permainan dan memperkuatkan mental untuk menghadapi tekanan menggila penyokong Indonesia," jelasnya.

Pemain Selangor itu juga tidak takut dengan provokasi yang dibangkitkan oleh sebahagian besar penyokong Indonesia yang masih mengungkit isu penggunaan laser ketika aksi di Kuala Lumpur.

''Kami semua tidak ambil serius mengenai perkara itu kerana yang penting kemenangan Malaysia bukan dibantu atas faktor laser sebaliknya memang berdasarkan hasil permainan kami yang lebih baik daripada Indonesia," tegasnya. - Utusan

Kredit : http://www.utusan.com.my/

0 comments:

Post a Comment

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))