GEORGETOWN: Seorang pelancong warga Ireland berusia 50 tahun mati selepas diserang dua ekor anjing dipelihara seorang pemilik ladang organik di Teluk Bahang di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 9 pagi itu, Sullivan Maurice, mati di tempat kejadian di ladang itu yang terletak 50 meter dari rumah pemilik anjing, akibat cedera parah di lengan dan paha, manakala dagunya hampir tercabut, selain kedua-dua belah telinga putus.
Bagaimanapun, teman wanita mangsa, seorang warga Poland berusia 28 tahun, yang turut berada di tempat kejadian tidak diserang anjing berkenaan. Kedua-dua anjing itu dikatakan jinak, tidak diikat pemilik ladang.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan kes dikategorikan sebagai mati mengejut.
Pemilik ladang itu dikenali sebagai Teoh, 41, berkata pasangan itu tiba di sini kira-kira jam 11 pagi kelmarin untuk menjadi sukarelawan di ladangnya serta bercadang merakam gambar pokok durian, selepas mereka berkenalan melalui internet.
Pasangan itu juga sudah mesra dengan kedua-dua ekor anjing berkenaan walaupun baru tiba di ladang itu, malah petang kelmarin mereka bermain-main dengan haiwan itu.
Sebelum kejadian, pasangan itu baru saja keluar rumah. Bagaimanapun, secara tiba-tiba anjing itu menyerang Maurice yang berada di belakang, tetapi teman wanitanya yang berada di depan terselamat.
“Ketika kejadian, isteri saya berada dalam rumah terdengar bunyi anjing menyalak dan apabila keluar mendapati anjing sudah menyerang mangsa. Kami cuba menolong Maurice tetapi terlambat.
“Kami tidak sangka anjing yang sudah mesra bersama Maurice kelmarin, menggigit sehingga menyebabkan kematiannya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.
Teoh berkata, dua ekor anjingnya itu akan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Hatta Md Zin, berkata pihaknya difahamkan mangsa bersama kekasihnya datang ke ladang untuk merakam gambar bagi dimuat naik ke laman web mereka.
Kredit : http://www.bharian.com.my/
0 comments:
Post a Comment