Ashraf serasi jadi ustaz

January 4, 2011

SERING tampil membawakan watak sebagai seorang ustaz atau jejaka alim menerusi drama mahupun filem sulung lakonannya, Aku Masih Dara, lewat kebelakangan ini, Ashraf Muslim mengaku perkara tersebut serasi dengan personaliti dirinya.

Bukan tidak ada tawaran antagonis yang datang kepadanya, namun kata pelakon berusia 29 tahun ini, sahamnya pada mata penerbit dan pengarah buat masa ini memang ke arah watak protagonis. Lantas kesempatan yang diberi, dimanfaat dengan baik oleh jejaka tinggi lampai dengan satu tujuan - menyebar kebaikan melalui lakonan.

"Sebenarnya, jika mahu diikutkan, ini juga (watak ustaz atau lelaki alim) adalah permintaan stesen televisyen, pengarah dan juga penerbit yang merasakan watak tersebut serasi dengan personaliti saya. Sebagai seorang pelakon, saya menghormati permintaan mereka.

"Namun saya akui, pada masa yang sama, saya masih juga menerima tawaran untuk watak yang tidak bersifat sedemikian. Saya sebenarnya tidak ada masalah untuk membawa watak apa pun, asalkan ia memberi impak yang positif kepada penonton," ujar Ashraf yang ditemui pada majlis ramah mesra bersama pelakon drama Ustaz Amirul di Restoran Bambu Istana baru-baru ini.

Sekadar mengingatkan juga, anak kelahiran Melaka ini memberitahu sebelum sinonim dengan watak alim, dia sendiri pernah melakonkan watak mak nyah bernama Adik Cu dalam teater Patung Kertas. Watak itu katanya adalah watak yang agak mencabar buat dirinya kerana impak baik yang disampaikan pada pengakhiran cerita,


Katanya: "Sebab itu saya katakan, saya sedia berlakon watak yang akan meninggalkan impak positif, tetapi jika pada penghujung cerita watak tersebut tidak akan membawa impak positif, agak sukar buat saya menerimanya."

Tambah pelakon yang sebelum ini terkenal menerusi drama seperti Puaka Niyang Rapik, Yusuff dan Cinta Sempurna, antara watak idamannya selepas ini adalah menjadi orang buta atau bisu.

"Saya teringin untuk melakonkan watak sebagai orang buta atau bisu kerana belum pernah lagi saya ditawarkan watak sebegini. Pada saya, watak seumpama ini memerlukan saya membuat kajian yang lebih mendalam kerana bukan semua manusia di dunia mengalami kecacatan fizikal.

"Justeru jika ada yang menawarkan watak sebegini kepada saya, saya amat terbuka untuk menerimanya," ujar Ashraf penuh teruja.

Mengajak dia bercerita tentang peranan terbarunya sebagai Ustaz Amirul yang dibikin khusus olehnya oleh pengarah Ahmad Idham, drama yang disiarkan dalam slot Zehra di TV3 bermula 7 Januari ini, anak sulung daripada lapan beradik itu memberitahu hatinya terpaut untuk memegang watak tersebut kerana skripnya yang seimbang.

Mengulas mengenai kelaziman personaliti seorang alim atau ustaz, Ustaz Amirul adalah seorang ustaz yang moden dan punyai perasaan cinta dan nafsu seperti insan yang lain.

"Sebab itu saya terima watak ini kerana cabarannya adalah untuk menampilkan sisi seorang ustaz yang hanya merupakan manusia biasa yang mempunyai perasaan dan nafsu. Tetapi pada masa yang sama, dia juga adalah seorang ustaz," terang Ashraf yang berganding dengan Eira Syazira dan Siti Saleha dalam drama tersebut.

Oleh kerana telah membawa imej yang baik dalam lakonan, kata Ashraf, di luar dunia seni, dia sendiri mahu kekal dengan imej dirinya sekarang. Sebagai individu yang dikenali umum, malah menjadi salah seorang pengamal perubatan Islam, dia selalu menjaga adab agar tidak menyinggung khalayak dengan tingkah laku atau tutur katanya.

"Sebolehnya, apa yang saya bawa di dalam filem atau drama, mahu saya kekalkan dengan personaliti saya sekarang. Ini juga cabaran buat saya dan watak Ustaz Amirul yang digambarkan sebagai ustaz moden. Semoga apa yang dipaparkan dala, drama tersebut tidak akan menyinggung sesiapa," katanya mengakhiri perbualan.

Kredit : http://www.kosmo.com.my/

0 comments:

Post a Comment

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))