Tinggal nota bunuh diri di Facebook

January 7, 2011

OMAHA: Seorang pelajar Sekolah Tinggi Millard South di Omaha, Nebraska, kelmarin, sempat meninggalkan nota terakhir di Facebook sejurus sebelum menembak dua pegawai kanan sekolah itu.

Pelajar terbabit, Robert Butler Jr, 17, kemudian membunuh diri dan mayatnya ditemui dalam sebuah kereta hampir dua kilometer dari tempat kejadian.

Ketua Polis Omaha, Alex Hayes, berkata remaja itu adalah anak kepada anggota polis tempatan.

Katanya, Butler menembak pengetua sekolah tinggi itu, Curtis Case, dan penolongnya, Vicki Kaspar.

Kaspar yang mengalami kecederaan parah akibat terkena beberapa das tembakan kemudian disahkan mati tidak lama kemudian, manakala Case masih dirawat kerana parah.

Menurut sumber, dalam catatan terakhirnya di Facebook, Butler berkata, sekolah berkenaan banyak mengubah dirinya menjadi seseorang yang berbeza daripada biasa.

Disulami dengan kata-kata mencarut, Butler membayangkan dia bosan dengan sekolah berkenaan.

“Saya harap anda semua mengenang saya seperti sebelum ini dan saya meminta maaf kepada keluarga yang terjejas. Selamat tinggal,” katanya.

Menurut sumber, serangan Butler itu mungkin berpunca daripada tindakan sekolah tinggi itu menggantungnya sehari sebelum itu kerana memandu kereta di padang bola.

Saksi, Laura Olson, berkata dia baru saja mula makan tengah hari di kantin apabila kakitangan sekolah berkenaan tiba-tiba datang dan menjerit menyuruh semua orang masuk ke dapur.

Kata Laura, 16, melihat keadaan kakitangan itu yang panik, dia segera sedar ada sesuatu yang tidak kena berlaku.

“Pastilah ia bukan latihan kecemasan,” katanya.

Sekolah tinggi itu terletak di bahagian barat Omaha dan menempatkan kira-kira 2,100 pelajar. - Agensi

Kredit : http://www.hmetro.com.my/

0 comments:

Post a Comment

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))