PENJAGA gol pasukan bola sepak negara, Khairul Fahmi Che Mat (Apek), yang membantu Malaysia muncul juara Piala AFF Suzuki 2010 baru-baru ini dianugerahkan sebuah rumah oleh kerajaan Kelantan bagi mengenang jasa dan pengorbanan penjaga gol itu.
Pemberian rumah itu diumumkan sendiri oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat diatas kecemerlangan beliau membantu negara muncul juara Kejohanan Piala AFF Suzuki yang berakhir minggu lalu.
Kejayaan skuad Harimau Malaya menjuarai piala tersebut dalam edisi kelapan penganjurannya mengakhiri penantian skuad negara untuk bergelar juara buat pertama kali sejak 14 tahun lalu.
Nik Abdul Aziz berkata, pihak Kerajaan Negeri Kelantan menzahirkan penghargaan dan mengucapkan tahniah kepada Khairul Fahmi Che Mat di atas kecemerlangan beliau membantu skuad kebangsaan muncul juara dalam kejohanan tersebut.
“Sebagai mengenang budi dan menghargai jasa anak muda kita yang berbakti melalui sukan bola sepak membantu negara menjulang piala, maka pihak kerajaan negeri memutuskan menghadiahkan sebuah rumah kepada Khairul Fahmi,” katanya dalam sidang akhbar ringkas selepas meraikan wira negara itu di sebuah restoran di Kampung Cherang, dekat sini semalam.
“Kita akan tetap beri hadiah. Itu kenyataan saya (pemberian sebuah rumah) dan segala butiran mengenai pemberian hadiah tersebut akan dilaksanakan oleh Abdul Fattah Mahmood (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan).
“Lokasi dan nilai rumah tersebut belum ditentukan. Bila kita dapat hadiah dalam juara bola sepak, kita dapat medal. Hadiah medal ini orang berebut satu dunia. Berapa nilai hadiah ini sebenarnya tidak penting,” katanya.
Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz turut memberi nasihat kepada bintang muda bola sepak Kelantan itu bagi mengharungi cabaran mendatang setelah dijulang sebagai wira bola sepak negara.
“Dia masih muda dan perlu menjaga diri dengan baik. Dengan bakat yang ada, dia boleh menonjol sampai bila-bila. Kita menghargai bakat dia serta keluarga dia, sebab itu kita berjanji nak beri hadiah rumah kepada dia,” katanya.
Kredit : http://www.sinarharian.com.my/
0 comments:
Post a Comment