Hernandez pencabar utama posisi Rooney

January 6, 2011

MANCHESTER - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson menegaskan Wayne Rooney bakal berdepan masalah.

Ini kerana, Ferguson menghadapi kesukaran untuk mengetepikan Javier Hernandez yang ketika ini berada pada prestasi terbaik.

Hernandez atau nama gelarannya Chicharito serta Nani menjaringkan gol buat United ketika menewaskan Stoke City 2-1 di Old Trafford awal pagi semalam.

Kemenangan itu terus meletakkan skuad Red Devils di tangga teratas Liga Perdana England dengan tiga mata di hadapan pencabar terdekat, Manchester City.

"Sudah tentu sukar untuk saya mengetepikan Chicharito selepas ini. Ia pasti menjadi masalah buat saya dan sejak beberapa tahun lalu posisi penyerang sentiasa menyukarkan saya membuat pilihan.

"Tapi jika Chicharito kekal konsisten menjaringkan gol, ia tidak akan memberi masalah kepada saya," kata Ferguson.

Jaringan pada awal pagi semalam merupakan gol kesembilan Chicharito untuk musim ini berbanding Rooney yang hanya meledak tiga gol setakat ini.

Rooney telah mengalami kecederaan buku lali pada minggu lalu dan akan menyebabkan dia terlepas aksi Piala FA menentang Liverpool pada hujung minggu ini.

"Sejarah telah menunjukkan bahawa kami akan beraksi lebih baik pada babak kedua musim dan kami akan mengungguli perlawanan-perlawanan penting," jelas Ferguson.

United kini masih mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang musim ini tetapi mereka tetap dikritik kerana dikatakan tidak bermain dengan cantik.

"Kamu boleh lihat banyak statistik. Tapi lihat kepada rekod kami di laman sendiri. Beberapa perlawanan menyaksikan kami tampil dengan cukup bergaya.

"Kami perlu mengetepikan segala kritikan tersebut dan memberi sepenuh fokus terhadap sasaran kami iaitu untuk menjuarai liga," tegas Ferguson.

Pada aksi awal pagi semalam, Chicharito meletakkan United di hadapan pada minit ke-27 sebelum Stoke menyamakan kedudukan menerusi Dean Whitehead pada minit ke-50.

Namun Nani memastikan tiga mata penuh milik United menerusi gol kemenangan pada minit ke-62. - Agensi

Kredit : http://www.kosmo.com.my/

0 comments:

Post a Comment

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))