SEREMBAN - Calon Pas, Normala Sudirman, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, 30 Januari ini, dilihat mempunyai pakej bagi menarik sokongan pengundi.
Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar berkata, pemilihan dibuat berdasarkan populariti bekas guru berumur 38 tahun itu dalam kalangan masyarakat setempat.
"Kerjaya sebagai guru sebelum ini memberi banyak ruang kepadanya berdamping dengan orang ramai.
"Selain itu, pimpinan Pas semua peringkat yakin, Normala yang pernah menerima anugerah guru cemerlang peringkat daerah memiliki komitmen tinggi sebagai calon PRK DUN Tenang,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Normala sebagai calon PRK DUN Tenang oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Labis, Johor, malam kelmarin.
Menurutnya, Normala bukan sahaja cemerlang ketika bertugas sebagai guru, malah dia sentiasa bergiat aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Normala turut mempunyai reputasi membanggakan sebagai aktivis masyarakat,” katanya.
Zulkefly berkata, pemilihan bekas guru Sekolah Kebangsaan LKTP Kemelah itu dibuat selepas melalui beberapa tapisan pada peringkat pimpinan Pas negeri dan Pusat.
"Dalam senarai awal, Normala yang juga Ketua Dewan Muslimat Kawasan Labis adalah calon wanita tunggal.
"Pemilihannya membuktikan Pas tidak mendiskriminasikan golongan wanita dalam parti, malah mengiktiraf kebolehan dan keterampilan mereka menjayakan perjuangan kita,” katanya.
Kredit : http://www.sinarharian.com.my/
0 comments:
Post a Comment