'Kekejaman Israel tragedi terburuk'

December 27, 2010
VMP lancar flash mob pamer kezaliman Zionis

KUALA LUMPUR: Kekejaman Israel ke atas Palestin adalah tragedi terburuk dalam kemanusiaan sejagat, mengatasi krisis lain di dunia, kata Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Viva Palestina Malaysia (VMP), Datuk Adnan Mohd Tahir.


Beliau memetik kenyataan bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela berkata, kekejaman Israel itu perlu dihentikan segera bagi memberikan keadilan kepada enam juta pelarian Palestin yang sekian lama hidup dalam kesengsaraan.

“Esok (hari ini) ialah ulang tahun pencerobohan Israel ke Gaza yang dilakukan pada 27 Disember 2008 dan ketika kami pergi ke Gaza bersama konvoi antarabangsa dua bulan lalu, keadaan di sana masih tidak berubah.

“Rakyat Palestin masih hidup dalam keadaan menyedihkan, malah mereka seolah-olah terkurung dalam penjara kerana tidak dibenar meninggalkan Gaza sama sekali walaupun untuk memperbaharui pasport antarabangsa,” katanya selepas pelancaran ‘flash mob’ VMP di sini, semalam.

Menerusi ‘flash mob’ itu, beberapa aktivis VMP dengan dibantu pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) melakonkan adegan penangkapan dua lelaki Palestin oleh tentera Israel sebelum diselamatkan beberapa wanita dan kanak-kanak Palestin tanpa rasa takut.

Adnan berkata, lakonan itu menggambarkan rakyat Palestin tidak akan berhenti berjuang membebaskan tanah air mereka daripada kezaliman Israel di samping mengingatkan seluruh dunia Gaza masih berada di bawah kepungan rejim Zionis.

“Jika sebelum ini Malaysia lantang menyokong penghapusan dasar aparteid di Afrika Selatan, tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh membantu membebaskan Palestin daripada terus dizalimi,” katanya.

Beliau berkata, VMP akan dilancarkan secara rasmi oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 22 Januari depan pada majlis makan malam yang akan turut membabitkan kutipan derma daripada badan korporat serta individu.

“Hasil sumbangan itu akan kita gunakan untuk mewujudkan peluang pekerjaan di Palestin menerusi kunjungan kami ke sana tidak lama lagi. Apa yang paling kritikal ketika ini bukan bantuan pakaian atau makanan tetapi peluang pekerjaan untuk mereka menyara keluarga masing-masing,” katanya.

Pada majlis itu, VMP turut mengundang wartawan penyiaran dan aktivis kemanusiaan British, Lauren Booth yang juga adik ipar kepada bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair untuk memberikan ceramah mengenai kekejaman Israel terhadap Palestin.

Kredit : http://www.bharian.com.my/

0 comments:

Post a Comment

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))