LOS ANGELES - Seorang peguam kepada doktor peribadi Michael Jackson mencetuskan kontroversi apabila dia membayangkan Raja Pop berkenaan membunuh diri dengan menggunakan ubat pelali kuat, propofol.
Pada hari keempat kes kematian penyanyi legenda itu didengar di Mahkamah Tinggi Los Angeles kelmarin bagi memutuskan sama ada doktor peribadinya, Conrad Murray akan dibicarakan kerana membunuh tanpa niat berhubung kematian mengejut Jackson, pihak pendakwa raya juga memanggil seorang wanita yang menjalin hubungan sulit dengan Murray untuk memberi keterangan.
Saksi pendakwa itu diminta menceritakan mengenai beberapa bungkusan yang diterimanya daripada sebuah farmasi sebagai bukti bahawa Murray, 58, menerima bekalan ubat bius, propofol.
Seorang penyiasat koroner, Elissa Fleak kemudian mengesahkan dia menemui 12 botol ubat bius itu di rumah sewa Jackson di sini yang digunakan untuk membantunya tidur, termasuk beberapa botol propofol diletakkan di dalam sebuah beg bertanda, barangan keperluan bayi.
Propofol adalah sejenis ubat bius kuat hanya dibenarkan untuk kegunaan hospital.
Fleak berkata, kebanyakan botol ubat propofol itu ditemui empat hari selepas Jackson, 50, meninggal dunia kerana pengambilan ubat berlebihan pada 25 Jun 2009. Menurutnya, sejumlah jarum suntikan turut ditemui di dalam sebuah kotak terbuka di sebelah katil Jackson bersama satu botol propofol yang kosong.
Belum sempat Fleak menghabiskan keterangannya, peguam Murray, J. Michael Flanagan tiba-tiba mencelah dengan menyoal sama ada seorang lelaki bersaiz seperti Jakson berupaya mencapai jarum-jarum suntikan tersebut dari katilnya.
"Jika seorang individu seberat 61 kilogram dan tinggi 1.75 meter (Jackson) berada di atas katil, adakah dia mampu mencapai jarum-jarum tersebut (untuk membunuh diri)?"
Soalan itu mencetuskan bantahan pihak pendakwa raya dan hakim turut bersetuju bahawa ia bersifat spekulasi.
Namun, soalan tersebut membayangkan bahawa pihak pembelaan mungkin akan menggunakan teori Jackson membunuh diri sekiranya mahkamah memutuskan untuk membicarakan doktor peribadinya kelak.
Setakat ini, pihak pendakwa raya cuba membuktikan bahawa Murray cuai dalam memberikan ubat bius itu kepada Jackson selain cuba menyembunyikan pengunaannya daripada pihak berkuasa.
Perbicaraan akan disambung semula minggu ini.
- Reuters
Kredit : http://www.kosmo.com.my/
0 comments:
Post a Comment