AS bimbang senjata canggih milik China

January 10, 2011
Gates gesa pulih hubungan dengan Beijing

DI DALAM PESAWAT TENTERA AS: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Robert Gates kelmarin menyuarakan kebimbangan berhubung pemilikan senjata berteknologi tinggi terbaru China dan menggesa pemulihan dalam hubungan ketenteraan dengan Beijing bagi membantu mengurangkan ketegangan.

Bercakap kepada media dalam perjalanan ke Beijing untuk rundingan tiga hari, Gates berkata China jelas membuat banyak peningkatan dalam membangunkan jet pejuang siluman pertama dan peluru berpandu antikapal memberi ancaman kepada tentera Amerika.

“Mereka jelas mempunyai potensi meletakkan sesetengah keupayaan kita dalam risiko. Kita perlu memberi perhatian terhadap mereka, kita perlu memberi tindak balas wajar dengan program sendiri,” kata Gates.

Namun katanya, kemajuan dalam program persenjataan China itu menekankan lagi betapa pentingnya satu dialog diadakan dengan tentera China, dan berharap kunjungannya bermula semalam akan menjalin hubungan pertahanan lebih erat dengan kuasa Asia itu.

“Harapan saya ialah menerusi dialog strategik yang saya katakan, mungkin keperluan sesetengah keupayaan ini dikurangkan,” kata Gates.

Dengan Presiden China Hu Jintao dijangka berada di Washington untuk kunjungan 19 Januari ini, kedua-dua pihak tidak sabar menunjukkan perkembangan dalam hubungan pertahanan yang mana China berulang kali menyekat jualan senjata Amerika ke Taiwan.

“Adalah jelas China mahu saya datang sebelum kunjungan Presiden Hu ke Wa-shington,” kata Gates.

“Pandangan peribadi saya ialah hubungan positif, menyeluruh antara Amerika dan China bukan saja bermanfaat untuk kedua-dua negara, tetapi juga semua negara di rantau ini dan seluruh dunia.”

Beberapa hari sebelum lawatan ketua pertahanan Amerika itu, gambar jelas diedar di internet oleh pihak yang tidak dikenal pasti menunjukkan satu prototaip pesawat pejuang siluman pertama China, J-20 di satu lapangan terbang tentera di barat laut China.

“Kami tahu mereka sedang mengusahakan pesawat siluman,” kata Gates apabila ditanya mengenai pesawat perang itu.

Gates juga berkata beliau bimbang mengenai peluru berpandu antikapal, krus dan balistik China sejak dirinya mengambil alih jawatan itu empat tahun lalu oleh China. – AFP

Kredit : http://www.bharian.com.my/

0 comments:

Post a Comment

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))