5,000 penyokong sambut wira negara di KLIA

December 31, 2010

Tunggu lebih 4 jam, nyanyi lagu patriotik

SEPANG: Hampir 5,000 penyokong pasukan bola sepak negara membanjiri balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam bagi menyambut skuad Harimau Malaya yang tiba di tanah air selepas menjuarai Piala Suzuki AFF di Jakarta, Indonesia, malam kelmarin.

Mereka yang kebanyakannya memakai jersi kuning hitam mula berkumpul di balai ketibaan sejak jam 12 tengah hari selepas berita ketibaan skuad pada jam 2 petang tersebar terutama di laman sosial sejak malam kelmarin.

Penyokong daripada pelbagai peringkat umur setia menunggu sambil berterusan menyanyikan beberapa lagu termasuk Barisan Kita dan melaungkan Malaysia Boleh!, walaupun penerbangan yang membawa skuad kebangsaan hanya tiba jam 3.30 petang.

Berikutan jumlah penyokong yang terlalu ramai, polis terpaksa bekerja keras mengawal keadaan dan memastikan keselamatan pemain terjamin. Pada jam 4.30 petang, penantian penyokong berakhir apabila pasukan negara yang diiringi Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan jurulatih, K Rajagobal keluar dari pintu balai ketibaan.

Kelibat pasukan muda negara itu mendapat tepukan gemuruh dan sorakan penyokong yang berasak-asak untuk melihat dan merakam gambar lebih dekat.

Mereka dibawa ke pentas di balai ketibaan KLIA bagi memberi kesempatan penyokong untuk melihat dan merakam gambar wira negara. Pemain diiringi polis ke dalam bas, namun, peminat masih mengejar mereka untuk merakam gambar.

Pelajar institut pengajian tinggi, Afiq Asyraf, 22, berkata kehadirannya di KLIA untuk memberi sokongan kepada pemain muda negara yang mempunyai potensi besar untuk berjaya di peringkat lebih tinggi.

“Ini pertama kali saya ke KLIA menyambut pasukan bola sepak negara bagi menyatakan sokongan kepada skuad kebangsaan,” katanya yang hadir bersama dua rakan.

Peniaga, Aziz Samad, 52 yang datang bersama isteri serta tiga anak mahu peminat terus memberi sokongan kepada pemain negara walaupun ketika mereka kalah.

Kakitangan swasta, Mohd Zubir Hassan Basir berkata, kehadirannya di KLIA atas permintaan isteri yang mengandung tujuh bulan yang mahu melihat pemain negara lebih dekat.

Nafrizan Mohd Zin, 38, terkejut dengan jumlah penyokong yang hadir di KLIA untuk memberi sokongan kepada pemain negara.

Jumlah penyokong yang ramai itu juga memberi rezeki kepada Mazlan Yunos, 45, yang berjaya menjual kira-kira 100 jersi pasukan kebangsaan pada harga RM65 setiap satu, di luar balai ketibaan terutama jersi biru.

“Jersi warna biru paling laris mungkin sebab tuah warna jersey ini kepada skuad negara,” katanya.

Kredit : http://www.bharian.com.my/

0 comments:

Post a Comment

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))