DOHA - Pemain tenis No. 1 dunia, Rafael Nadal memulakan musim 2011 dengan menguji kewibawaan pencabarnya, Roger Federer pada Terbuka Qatar yang bermula hari ini.
Kehadiran dua pemain utama dunia itu adalah antara daya tarikan kejohanan yang berharap untuk menyaksikan mereka bertemu pada perlawanan akhir.
Pada Kejohanan Tenis Jemputan Dunia Mubadala yang merupakan penutup kalendar tenis 2010 di Abu Dhabi minggu lalu, Nadal menewaskan Federer 7-6 (7-4), 7-6 (7-3).
Kini pemain Sepanyol itu memperbaharui permusuhannya dengan Federer selepas menyapu bersih tiga kejohanan Grand Slam terakhir tahun lalu.
"Buat kedua-dua kami, ini adalah kejohanan pertama tahun ini selepas menyertai perlawanan pertunjukan minggu lalu. Jadi ia agak istimewa," kata Nadal yang diletakkan sebagai pilihan pertama.
Federer pula yang memulakan tahun 2011 dengan mempunyai jurulatih baru iaitu Paul Annacone, sudah pasti mahu keluar daripada bayangan Nadal yang kerap menyekatnya sejak kebelakangan ini.
Jelas pemain Switzerland itu datang ke Doha dengan matlamat untuk meraih kejuaraan ketiganya di sini selepas muncul juara pada 2005 dan 2006.
"Rafael dan saya dan bertemu banyak kali dengan pelbagai pukulan menghiasi pertemuan itu. Tahun baru ini dia akan berdepan Federer yang lebih baik," kata- nya yang merupakan pemain pilihan kedua kejohanan.
Annacone adalah bekas jurulatih Pete Sampras yang diharap Federer dapat meningkatkan lagi permainannya untuk memberi saingan kepada Nadal. - AFP
Kredit : http://www.kosmo.com.my/
0 comments:
Post a Comment