BUENOS AIRES (Argentina): Presiden Persatuan Bola Sepak Argentina, Julio Grondona menamakan Lionel Messi sebagai pemain terbaik pernah menyarungkan jersi nombor 10 negara itu, sekali gus memberi tamparan hebat buat bekas ikon sukan itu, Diego Maradona (gambar kecil).
Grondona, menerusi wawancara radio berkata Messi, Maradona, Juan Roman Riquelme dan Juan Sebastian Veron berada dalam kelompok tersendiri berbanding pemain lain, namun beliau menekankan Messi sebagai yang terbaik berbanding yang lain dalam kumpulan itu.
Komen Grondona itu memberi tamparan buat Maradona. Minggu lalu, bekas jaguh bola sepak itu berkata, beliau mungkin mengheret Grondona ke mahkamah kerana menyebarkan maklumat palsu mengenai masalah dadah dan alkohol yang dihadapinya. Maradona berkata beliau mengamalkan gaya hidup sihat sejak enam tahun lalu dan Grondona pula menyatakan sebaliknya.
“Messi adalah pemain jersi nombor 10 terbaik dalam sejarah bola sepak Argentina. Messi, Maradona, Riquelme dan Veron jelas berada dalam planet lain,” kata Grondona kepada Radio 10.
Dalam wawancara minggu lalu, Maradona menuduh Grondona yang berusia 79 tahun itu sebagai nyanyuk, menggelarnya 'gaga' dalam bahasa Sepanyol. Dia juga mengatakan Grondona menerima rawatan beberapa kali dalam setahun di klinik Switzerland yang mahal.
Susulan itu, Grondona membalas dengan menyatakan orang ramai sedar akan masalah dihidapi Maradona.
Maradona gagal mencari pekerjaan sejak disisihkan daripada jawatan jurulatih kebangsaan Argentina oleh Grondona berikutan tersingkirnya pasukan negara itu di suku akhir Piala Dunia lima bulan lalu. Grondona adalah orang yang bertanggungjawab mengambil Maradona sebagai jurulatih dua tahun lalu. - AP
Kredit : http://www.hmetro.com.my/
0 comments:
Post a Comment