Malaysia di hati Maher Zain

January 10, 2011

FENOMENA penyanyi Maher Zain belum lagi berakhir apabila komposer dan penyanyi kelahiran Lubnan ini sekali lagi berkunjung ke Malaysia bagi mengadakan konsert solo yang pertama di sini.

Inteam Records bersama Fiero Entertainment dan Awakening Entertainment bergabung tenaga untuk menyambung momentum ini dengan mengadakan konsert solo Maher Zain Live In Concert 2011 yang akan bertempat di Stadium Malawati, Shah Alam pada 25 dan 26 Februari ini.

Maher merupakan menjadi artis beragama Islam pertama mempunyai satu juta pengikut di laman sosial Facebook dan 900,000 daripada jumlah itu adalah pengikut dari Malaysia selepas pelancaran album pertamanya, Thank You Allah.

Mungkin kerana itu, penyanyi tinggi lampai ini agak kerap menerima jemputan ke Malaysia. Pada tahun 2010 sahaja, Maher tampil dengan mengadakan konsert mini dan amal di Shah Alam.

Persoalan mengenai kekerapan berkunjung ke Malaysia dijawab dengan mengatakan Malaysia merupakan rumah kedua bagi empunya diri dan isteri tersayang.

“Seperti yang pernah saya katakan, Malaysia ialah seperti rumah kedua saya selepas Sweden.

“Saya juga selesa berada di sini memandangkan isteri saya memakai hijab dan masyarakat di sini tiada masalah dengan perkara tersebut,” bicaranya selepas beberapa kali diajukan soalan mengenai kunjungan di Malaysia.

Tambahnya lagi, perancangan bercuti bersama isteri di sini mungkin akan dipertimbang kelak selain berkata dia amat menggemari hidangan tempatan iaitu sate bersama kuah kacang.

Selain itu juga, penerimaan dan sokongan rakyat Malaysia juga antara penyebab kesudiannya kembali ke Malaysia.

Akuinya jujur, perasaan terharu dan bertuah terdetik di hati kerana dijemput bagi mengadakan konsert sulung itu dan ia juga dianggap sebagai satu penghormatan bagi dirinya.

Berbicara mengenai konsert solo pertama yang akan diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam itu, berkemungkinan beliau akan menyampaikan sebanyak 10 atau 11 buah lagu yang dipetik dari album Thank You Allah.

Antara kejutan yang akan dilakukan nanti ialah, peminat di Malaysia akan berpeluang menyaksikan secara eksklusif nyanyian lagu Insha Allah di dalam bahasa kebangsaan.

“Pada konsert solo saya nanti, saya akan menyampaikan lagu Insha Allah di dalam bahasa Melayu. Ia khas bagi menghargai peminat Malaysia yang selama ini banyak memberikan sokongan kepada saya,“ tuturnya yang juga pernah menyampaikan lagu ini di dalam empat bahasa lain iaitu Inggeris, Perancis, Arab dan Turki.

Bagi peminat Malaysia yang ingin menyaksikan Maher Zain sekali lagi di Malaysia, anda boleh dapatkan maklumat pembelian tiket di www.inteam.com.my.

Kredit : http://www.kosmo.com.my/

0 comments:

Post a Comment

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))