Kehangatan konsert sulung, Justin Bieber bakal meninggalkan kenangan untuk kanak-kanak kurang bernasib baik yang akan diundang bagi menyaksikan Justin Bieber My World Tour in Malaysia di Stadium Merdeka, pada 21 April ini.
Ketua Pegawai Operasi Tune Talk, Jason Lo berkata, Tune Talk Mobile Prepaid mengeluarkan syarat unik kepada setiap pemegang tiket VVIP supaya mendermakan RM1,000 untuk memberi peluang kepada kanak-kanak malang terpilih ke konsert itu.
Selain itu, wang hasil jualan tiket VVIP akan disalurkan ke Rumah Kebajikan Nur Salam untuk tujuan amal.
“Sesuai dengan tarikan konsert, kami rasa inilah masa paling tepat untuk meraikan mereka kurang bernasib baik. Tambahan, seluruh kutipan derma akan disalurkan untuk tujuan kebajikan,” katanya kepada media sempena jualan tiket hari pertama konsert berkenaan di pusat membeli-belah Bangsar Village.
Jason berkata, sebanyak 300 tempat duduk VVIP akan disediakan pada konsert berkenaan dan pihaknya menyasarkan kutipan RM100,000 hingga RM200,000 untuk disalurkan ke Rumah Kebajikan Nur Salam.
Sementara itu, terdapat sebilangan peminat fanatik Justin sanggup beratur di hadapan pusat membeli-belah Bangsar Village sejak jam 4 pagi walaupun kaunter tiket hanya dibuka jam 12 tengah hari.
Selepas kaunter tiket dibuka, peminat yang beratur untuk membeli tiket itu semakin bertambah sehingga ke luar pusat membeli-belah.
Jason berkata, dia bersyukur dengan sambutan diterima dan percaya konsert berkenaan bakal mengundang 20,000 peminat yang akan memenuhi stadium terbabit.
Justin dijangka akan menghiburkan peminatnya lebih kurang 2 jam dan akan diserikan dengan persembahan pembukaan penghibur terkenal tanah air.
Tiket menyaksikan Justin Bieber My World Tour In Malaysia dijual pada harga RM498, RM358, RM288, RM188 dan RM98 yang juga boleh didapati menerusi laman web, www.airasiaredtix.com dan www.ticketpro.com serta di kaunter jualan AirAsiaRedTix dan TicketPro seluruh negara.
Kredit : http://www.sinarharian.com.my/
0 comments:
Post a Comment