Tindakan Misbun cetus pelbagai persoalan

January 3, 2011
Kurang berpuas hati keputusan BAM turut dikatakan punca peletakan jawatan

APAKAH isyarat tersirat yang mahu diberi jurulatih, Misbun Sidek kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila melakukan kejutan dengan meletak jawatan pada hari terakhir 2010?


Adakah ia disebabkan beberapa keputusan penting BAM termasuk melantik bekas pemain dan jurulatih, Datuk James Selvaraj selaku Pengarah Prestasi Tinggi menjadi antara faktor jurulatih pemain nombor satu dunia, Lee Chong Wei itu berbuat demikian?

Bukan menjadi rahsia Misbun kurang berpuas hati dengan keputusan BAM serta James merombak sistem kejurulatihan dan latihan sebelumnya apabila memperkenalkan sistem baru dengan terpaksa menjaga satu kelompok pemain dengan kuantiti besar.

Misbun menyifatkan di Kejohanan Dunia di Paris Ogos lalu bahawa rombakan itu menjurus kepada struktur latihan corak lama sedangkan sistem pengkhususan yang diamalkan sudah membuahkan hasil dengan pencapaian membanggakan Chong Wei.

Mengikut struktur baru, Misbun ditugaskan membimbing skuad elit bersama adiknya, Rashid dan dua pemain jagaan sebelum ini, anaknya, Misbun Ramdan dan Wong Mew Choo dikeluarkan daripada senarai jagaannya.

Ramdan diletakkan di bawah Hendrawan yang ditugaskan membentuk skuad pelapis, sementara Mew Choo kembali menjalani latihan di bawah jurulatih perseorangan wanita, Wong Tat Meng.

Misbun yang yang kurang senang dikatakan membuat permintaan kepada BAM supaya Ramdan disenaraikan semula di bawah jagaannya tetapi hingga hari ini badan induk itu tidak menunaikan permintaannya.

Antara faktor utama BAM enggan menunaikan permintaan itu kerana tidak mahu dilihat pilih kasih kerana Ramdan belum memenuhi beberapa kriteria untuk disenaraikan dalam skuad elit.

Turut dikaitkan Misbun berbuat demikian kerana Chong Wei dan pemain lain dikatakan mahu keluar daripada BAM selepas mereka kurang berpuashati dengan tindakan BAM mengkaji dan memperkenalkan skim insentif baru.

Namun, ada juga yang menyifatkan Misbun berani bermain tarik tali dan menuntut BAM mendengar kata kerana dia dan Chong Wei sudah membuktikan keupayaan dengan memenangi banyak kejuaraan di persada antarabangsa, apatah lagi, Chong Wei harapan utama memenangi emas di Sukan Olimpik London 2012.

Apapun, alasan di sebalik keputusan itu, hanya Misbun yang mengetahuinya dan sebarang keputusan yang diambil harus mengutamakan kepentingan negara dan BAM perlu bertindak segera menyelesaikan kemelut tahun baru ini.


Shabery terkejut peletakan jawatan

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang terkejut dengan laporan peletakan jawatan Datuk Misbun Sidek selaku jurulatih perseorangan badminton negara akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak terbabit berhubung perkara itu.

Beliau berkata ada menghubungi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meminta penjelasan perkara itu dan badan induk berkenaan berkata tiada alasan diberi Misbun dalam surat peletakan jawatan dihantar melalui emel itu.

“Jadi, apabila tiada alasan kemungkinan Misbun mempunyai alasan tersendiri.
Saya akan dapatkan maklumat daripada BAM, kebetulan pula Presidennya (Datuk Seri Nadzmi Mohd Salleh) berada di luar negara. Saya akan tunggu laporan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas menutup Program Juara Rakyat Anjuran UMNO Bahagian Parit Buntar di Dewan JKKK Tanjong Piandang, semalam.

Ahmad Shabery diminta mengulas laporan sebuah akhbar semalam yang memetik Pengurus Besar BAM, Kenny Goh sebagai mengesahkan Misbun meletakkan jawatan menerusi satu surat bertarikh 31 Disember yang dihantar melalui emel ke pejabat BAM.

Mengenai kebimbangan beberapa pemain, termasuk Lee Chong Wei akan menarik diri daripada BAM berikutan tindakan Misbun, beliau berkata masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan itu.

Kredit : http://www.bharian.com.my/

0 comments:

Post a Comment

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))