KOTA BHARU - Bekas penyerang Johor FC dan Kelantan, Sairozi Daud, 32, dimasukkan ke Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu dekat sini semalam, selepas tahap kesihatannya merosot sejak beberapa hari lalu.
Bapanya, Daud Yaakob berkata, keadaan kesihatan anaknya itu kembali teruk dan memaksa mereka sekeluarga menghantarnya ke hospital berkenaan.
"Sejak tiga hari lalu dia tidak menjamah makan. Kalau makan pun hanya sedikit sahaja. Dia tidak berselera untuk makan dan sekarang hanya mampu terbaring sahaja," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tambahnya, Sairozi sendiri meminta dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Utusan Malaysia 14 Disember lalu melaporkan penderitaan yang dialami pemain tersebut.
Penyakit barah tengkuk yang dihidapinya mula dikesan awal Februari tahun lalu dan menjalani pembedahan di Hospital Pakar Sultan Abdul Samad, Johor Bahru.
Selain itu, dia menerima rawatan kimoterapi sebanyak tujuh kali selain radioterapi sebanyak 36 kali sepanjang mendapatkan rawatan di hospital tersebut.
Daud memberitahu, anaknya itu pernah mendapatkan rawatan tradisional bagi memulihkan penyakit tersebut.
"Setakat ini tidak banyak perubahan yang dialaminya setelah mendapat rawatan tersebut," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Insan, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fattah Mahmood meluangkan masa hampir sejam menziarahi Sairozi di hospital tersebut dan menghulurkan sumbangan peribadi kepada keluarganya.
Abdul Fattah berkata, sumbangan itu diharap dapat meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga bekas pemain bola sepak Kelantan itu yang terpaksa menjaga beliau sepanjang berada di hospital.
"Saya terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara ini. Saya bersimpati dengan penderitaan yang dialami beliau serta kesulitan yang dialami keluarganya ketika ini.
"Saya mendoakan semoga beliau kembali sembuh dan saya berharap para peminat bola sepak Kelantan juga turut sama-sama mendoakan semoga beliau pulih sepenuhnya daripada penyakit yang dihadapinya," katanya.
Sebelum ini, penderitaan bekas pemain tersebut yang didedahkan oleh akhbar ini mendapat perhatian beberapa pihak termasuk Persatuan Bola Sepak Melayu Kelantan (PBSMK), Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net) dan Skuad Sayang Wanita UMNO Pasir Mas dan Machang, yang tampil menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban yang dialami oleh keluarga Sairozi.
Kredit : http://www.utusan.com.my/
0 comments:
Post a Comment