Ronaldo pamer sentuhan ajaib

January 11, 2011

MADRID - Hatrik Cristiano Ronaldo membantu Real Madrid bangkit mengalahkan Villarreal 4-2 kelmarin untuk mengurangkan kelebihan Barcelona di tangga teratas La Liga, kepada hanya dua mata.

Penyerang Portugal itu dua kali menyamakan kedudukan pada babak pertama dan kemudian meletakan pasukan tuan rumah mendahului pada minit ke-79 dengan meledak gol ke-22 musim ini, sebelum membuka gerakan gol untuk jaringan keempat oleh Kaka.

Jurulatih Real, Jose Mourinho kini memiliki 47 mata daripada 18 perlawanan, Barcelona pula 49 mata selepas membelasah Deportivo Coruna 4-0 Sabtu lalu.

"Cristiano menyebabkan saya tidak dapat berkata-kata. Begitulah dia selepas satu ke satu perlawanan. Saya tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan prestasinya,'' kata Mourinho.

Kemenangan itu membolehkan Real 11 mata mengatasi pasukan di tangga ketiga, Villarreal.

Valencia di tangga keempat dengan 34 mata selepas Juan Mata, yang sebelum itu gagal menyempurnakan penalti, menjaringkan gol kemenangan untuk 1-0 mengatasi Levante.

Cani meletakan Villarreal di depan selepas minit ketujuh perlawanan di Bernabeu, namun Ronaldo menyamakan kedudukan dua minit kemudian, apabila mudah menolak bola ke gawang hasil hantaran silang Mesut Ozil.

Marco Ruben melepasi perangkap ofsaid dan melepaskan sepakan lambung yang memperdayakan Iker Casillas pada minit ke-18, ketika Villarreal menguasai permainan.

Ronaldo bangkit dengan jaringan menerusi tandukan dari jarak dekat, selepas sepakan percuma sebelum rehat.

Real mula mengorak langkah dan Ronaldo sekali lagi bertindak pantas di depan pintu gol untuk jaringan ketiga.

Dia kemudiannya menghambat bola dari sebelah kiri dan melakukan hantaran silang untuk Kaka menjaringkan gol pada minit ke-82.

"Pada babak pertama, Madrid beraksi buruk dan Villarreal pula menakjubkan. Mereka adalah pasukan yang terhebat beraksi di Bernabeu musim ini.

"Keputusan 2-2, 3-1 sepatutnya keputusan yang adil pada babak pertama.

" Namun kami melakukan pertukaran, kami bertindak balas dan mendapat galakan untuk beraksi dan menang, mengekalkan rekod menang semua perlawanan di tempat sendiri musim ini,'' kata Mourinho. - Reuters

Kredit : http://www.utusan.com.my/

0 comments:

Post a Comment

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))