Peminat Maher Zain ramai di Malaysia

January 6, 2011

POPULARITI penyanyi kelahiran Lebanon yang mencetus fenomena di seluruh dunia menerusi lagu dakwah sememangnya tidak dapat disangkal. Dalam tempoh yang singkat, gelombang Maher Zain melanda di seluruh dunia dan negara kita turut tidak terlepas terkena tempiasnya.

Aura pemilik nama Maher Zain lain dari yang lain kerana dia tidak perlu mengejar populariti menerusi kontroversi tetapi sekadar menyampaikan lagu berunsurkan dakwah dalam bentuk kontemporari.

Enjin pencarian Google baru-baru ini mendedahkan bahawa penyanyi yang terkenal dengan lagu Insya Allah ini tersenarai antara yang teratas bagi carian di alam maya itu.

Maher Zain juga turut memiliki seramai 1.6 juta peminat di laman sosial Facebooknya yang mana 900,000 peminat daripada jumlah itu adalah di kalangan peminat tempatan.

Maher Zain tidak menduga 65 peratus daripada peminatnya di dalam laman sosialnya itu merupakan rakyat Malaysia.

"Saya dan pihak pengurusan terkejut kerana kami telah menjelajah ke merata tempat untuk mempromosikan muzik saya tetapi bukan di Malaysia ketika itu.

"Walaupun tanpa promosi, sambutan terhadap lagu-lagu saya di sini amat luar biasa dan apa yang saya tahu tiba-tiba nama saya meletup di sini.

"Kemudian, saya datang ke sini beberapa bulan lalu dan ternyata saya amat menyukai negara ini membuatkan saya terus ingin kerap datang ke sini lagi.

"Sebagai menghargai sokongan daripada para peminat saya di sini, saya merakamkan lagu Insya Allah dalam bahasa Malaysia," ujarnya ketika ditemui di sidang akhbar Maher Zain Live In Concert 2011 di sini, baru-baru ini.

Lagu yang telah dirakamkan dalam bahasa Turki, Perancis dan Arab itu mengenai mesej tentang tidak sesekali hilang keyakinan atau putus harapan dalam hidup.

Ceritanya lagi, pencapaian memiliki peminat yang sebegini ramai amat bermakna buatnya kerana bagi Maher, ia menunjukkan niatnya menyampaikan mesej yang baik menerusi lagu-lagunya berjaya.

Kalau boleh ujarnya, dia mahu menambah lagi bilangan orang yang mendengar lagu-lagunya. Bukan mengejar populariti mahupun bersifat materialistik, tetapi bagi Maher ia adalah wadah untuk dia mendekatkan mereka dengan Allah terutamanya golongan muda.

Kredit : http://www.utusan.com.my/

0 comments:

Post a Comment

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))