Pas jemput Khairy Jamaluddin

January 4, 2011

SHAH ALAM – Keputusan mengejut Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin seperti yang diumumkan melalui laman Twitternya kelmarin untuk berundur dari dunia politik dilihat sebagai kemuncak kepada ketidakpuasan hatinya kepada UMNO.

Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, kenyataan tersebut amat drastik kerana memang selama ini Khairy kelihatan seperti disisihkan dalam kepimpinan kerajaan pusat yang kebiasaannya memberi jawatan Menteri Belia dan Sukan kepada Ketua Pemuda.

Menurutnya, Khairy seperti yang beliau kenali tidak mungkin cepat mengalah dan tunduk kecuali ada tekanan politik yang amat berat berlaku dalam kepimpinan UMNO terhadapnya.

“Oleh sebab itu, saya sebagai Ketua Pemuda Pas menjemput Khairy bersama-sama kami sekiranya beliau benar-benar mahu berundur dari dunia politik kerana khidmatnya masih diperlukan.

“Jika benar, dan beliau setuju bersama kami, maka kami akan lakukan perubahan politik ke arah kesejahteraan dan semestinya adil untuk semua,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Nasrudin turut menegaskan bahawa segala keputusan terpulang kepada Khairy dan dia akan menghormati tindakannya.

Sementara itu, Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke pula menyifatkan kenyataan Khairy sebagai keputusan peribadi dan dia menghormati pendirian Khairy walaupun pengumuman itu disifatkan tergempar.

“Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut, cukup sekadar keputusan tersebut adalah hak peribadinya dan semua orang patut menghormatinya,” katanya.

Kelmarin, Khairy dalam laman Twitternya membayangkan hasrat untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Rembau pada pilihan raya umum akan datang.

Khairy memenangi kerusi Parlimen Rembau dengan 26,525 undi mengalahkan Badrul Hisham Shaharin (PKR) pada pilihan raya umum lalu sebelum mengumumkan bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO.

Kredit : http://www.sinarharian.com.my/

0 comments:

Post a Comment

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))