Mayat wanita bogel hampir reput ditemui

January 3, 2011

BUKIT MERTAJAM - Polis menjumpai mayat seorang wanita dalam keadaan bogel dan hampir reput di sebuah belukar berhampiran dusun dekat Berapit, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, polis bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 10.30 pagi.

Menurutnya, setibanya di lokasi, polis menemui mayat seorang wanita dalam keadaan tertiarap, kira-kira 20 meter dari tempatnya dipercayai dibunuh.

“Kami percaya wanita ini dibunuh di dalam pondok milik Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sebelum diseret ke dalam belukar berdasarkan kesan darah yang terdapat di dalam pondok itu.

“Indentiti mayat masih belum dikenalpasti, namun percaya mangsa adalah wanita berbangsa Cina berdasarkan keadaan fizikalnya. Motif dan punca pembunuhan masih disiasat,” katanya yang tidak menolak kemungkinan mangsa dirogol sebelum dibunuh.

Beliau percaya mangsa meninggal dunia dalam tempoh seminggu berdasarkan keadaan mayat, namun masih menunggu laporan pakar patologi untuk pengesahan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil menyalurkan maklumat atau menghubungi Ketua JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Superintendan S Subramaniam di talian 019-6351119 bagi membantu siasatan.

Selain itu, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga dalam tempoh itu juga diminta menghubungi balai polis berdekatan.

Kredit : http://www.sinarharian.com.my/

0 comments:

Post a Comment

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))