Khairul Fahmi dapat hadiah rumah

January 4, 2011

PENJAGA gol Skuad Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat, 21, yang membantu negara menjulang Piala Suzuki AFF 2010 Disember lalu, menerima ‘durian runtuh’ apabila kerajaan negeri Kelantan bersetuju menghadiahkan sebuah rumah kepadanya bagi menghargai jasa mengharumkan nama Malaysia.

Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat, berkata langkah itu diambil sebagai menghargai sumbangan anak kelahiran negeri itu yang menunjukkan kemampuannya di peringkat antarabangsa menerusi sukan bola sepak.

“Pada tahun ini, untuk menghargai jasa beliau (Khairul Fahmi) yang boleh menjadi contoh kepada masyarakat, maka kerajaan negeri setuju memberikannya sebuah rumah,” katanya pada Majlis Sambutan Meraikan Kepulangan Wira Negara di Kampung Cherang, di Kota Bharu, semalam.

Kepulangan Khairul Fahmi ke kampungnya disambut kira-kira 300 peminat sebagai tanda sokongan berikutan sumbangan penjaga gol muda itu menyelamatkan banyak cubaan bahaya Indonesia pada perlawanan akhir yang berkesudahan agregat 4-2.

Nik Aziz bagaimanapun berkata, nilai dan lokasi rumah bakal diterima Khairul Fahmi belum diputuskan kerajaan negeri kerana ia perlu dibincangkan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Abdul Fatah Mahmood.

“Harga rumah saya tak sebut nilai berapa, tapi benda itu rumahlah dan Insya-Allah akan disampaikan Abdul Fatah.”

Sementara itu, Khairul Fahmi berkata, beliau tidak menyangka kerajaan negeri akan menghadiahkan sebuah rumah sebagai menghargai jasa dan sumbangannya.

“Saya tak sangka benda macam ini nak jadi (dapat rumah) dan sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri. Saya hanya menjalankan tanggungjawab, mewakili negara dalam bola sepak semata-mata untuk maruah bangsa,” katanya.

Katanya, popularitinya yang naik secara mendadak tidak akan mengganggu tugasnya sebagai penjaga gol untuk skuad kebangsaan mahupun Kelantan.

“Kehidupan sekarang memang beza dari dulu tetapi saya tetap fokus dan beri yang terbaik ketika bermain kerana ini adalah karier saya,” kata Khairul Fahmi.

Kredit : http://www.bharian.com.my/

0 comments:

Post a Comment

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))