Bakar novel Interlok perbuatan tidak bertamadun

January 11, 2011
SHAH ALAM - Sikap sekumpulan masyarakat bertindak membakar novel Interlok dilihat sikap yang tidak bertamadun dan melambangkan sikap liar sesuatu bangsa.

Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, walaupun beliau belum membaca tetapi diyakini ia mempunyai nilaian akademik yang patut dihormati kerana ia ditulis oleh Sasterawan Negara.

“Kita mungkin boleh bersetuju atau tidak bersetuju dengan pemilihannya sebagai sukatan sastera untuk sekolah, tetapi membakar buku ilmiah atau sastera adalah kerja manusia yang tidak bertamadun sahaja.

“Sesebuah buku atau akhbar atau majalah hanya boleh dinyahkan atau dibakar jika ia sarat dengan kepalsuan, pembohongan dan fitnah, kerana bahan tersebut sudah tidak bernilai untuk kehidupan manusia.

“Jika membakar bahan-bahan karut dan dusta adalah lambang penolakan kepalsuan dan pembohongan. Saya yakin novel Interlok tidak ke peringkat itu,” katanya.

Mohd Asri berkata, mungkin ada perkara tertentu dalam buku tersebut yang tidak dapat diterima oleh masyarakat India. Ianya mungkin benar, atau sesuatu yang subjektif, perkara yang seperti itu memerlukan dialog, kritikan, tulisan dan cabaran di pentas akademik atau diskusi ilmu dan sasterawan.

Tambahnya lagi, apa yang mengejutkan perbuatan itu turut dihadiri oleh tokoh politik tertentu, dirasakan tindakan ahli politik itu adalah silap dan tidak seharus berlaku bagi kepentingan diri sendiri.

Sementara itu Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ibrahim Ali berkata tidak menolak kemungkinan tindakan membakar Interlok didalangi oleh pihak tertentu dan mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak segera.

Beliau berkata, kehadiran dua wakil rakyat dalam kejadian itu jelas mempunyai agenda politik untuk meraih sokongan kaum India dengan menggunakan isu perkauman.

Dua wakil rakyat terbabit adalah Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah, M Manoharan.

Menurutnya, api perkauman terus di nyalakan di sana sini dan mahu kerajaan segera bertindak sebelum merebak.

“Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ada tapi gagal di gunakan sebagai alat pencegahan kerana ada pihak akan tuduh kerajaan zalim. KDN harus bertindak tegas sebelum nasi jadi bubur,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, panggilan kasta terhadap setengah kaum india adalah hakikat sebenar sejarah dan isu seumpama ini tidak sepatutnya berulang.

Kredit : http://www.sinarharian.com.my/

0 comments:

Post a Comment

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))