AS tidak bimbang jet pejuang China

January 7, 2011

Beijing perlu banyak masa untuk pastikan senjata baru itu beroperasi sepenuhnya

WASHINGTON: Seorang pegawai kanan tentera laut Amerika Syarikat meremehkan kebimbangan berhubung laporan menyatakan China mencapai kemajuan dalam membangunkan jet pejuang siluman tetapi mengakui pihaknya terperanjat dengan kepantasan Beijing membangunkan jet canggih hampir tidak dapat dikesan radar itu.

Beberapa gambar jet prototaip J-20 China disiarkan oleh pihak yang tidak didedahkan identitinya di beberapa laman web sejak minggu lalu, menjelang lawatan menteri pertahanan AS, Robert Gates ke Beijing semalam.

Gambar itu menunjukkan prototaip J-20 sudah disiapkan dan sedang diuji di sebuah pangkalan udara di barat daya China.

Bagaimanapun Laksamana Madya David Dorsett, pengarah risikan tentera laut AS, berkata China mungkin perlu beberapa tahun lagi untuk memastikan pesawat siluman itu dapat beroperasi sepenuhnya.

“Usaha membangunkan keupayaan siluman dan kemudian menyepadukan keupayaan itu dengan persekitaran tempur akan mengambil masa yang lama,” kata beliau.

Dorsett berkata beliau tidak terperanjat China berusaha membangunkan jet pejuang siluman untuk menyaingi jet generasi kelima F-22 Raptor Amerika.

Pesawat siluman memiliki keupayaan untuk menghindari pengesanan secara visual, audio, sensor panas, ataupun gelombang radio (radar).

Penganalisis tentera memberi amaran China juga sedang membangunkan versi baru misil balistik Dongfeng 21 (DF-21D) yang boleh menembus pertahanan mana-mana kapal tentera laut AS dan mempunyai jarak sasaran menjangkaui perairan China.

“Sebelum ini kita memandang ringan keupayaan China membangunkan senjata teknologi tinggi seperti itu,” Dorsett memberitahu wartawan.

Namun beliau berkata China belum lagi mempunyai kecekapan dalam beroperasi dalam persekitaran tempur yang sofistikated dan masih lagi menjadi tanda tanya ke upayaannya melancarkan senjata teknologi tinggi yang dimilikinya itu.

“Saya akui mereka akan memiliki sistem senjata itu tetapi apakah mereka mempunyai kemahiran dalam menggunakannya,” kata Dorsett.

Ketua risikan tentera laut AS itu berkata beliau lebih bimbang mengenai kegiatan China dalam perang siber dan usahanya meningkatkan keupayaan di angkasa lepas. – AFP

Kredit : http://www.bharian.com.my/

0 comments:

Post a Comment

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))