'Tebus duka kami'

December 29, 2010
BEBERAPA bekas pemain negara yang pernah beraksi pada final kejohanan Piala Tiger 1996 (kini Piala Suzuki AFF) mengharapkan skuad muda di bawah kendalian K Rajagobal mampu melakar sejarah menjulang piala itu di Stadium Gelora Bung Karno buat kali pertama, hari ini sekali gus menebus kekecewaan yang dialami mereka selepas tewas 1-0 kepada Thailand.


Ingatan senada yang dilaungkan mereka, jangan sesekali mengambil mudah perlawanan akhir kedua hari ini selain setiap pemain perlu kekal fokus sepanjang 90 minit permainan kerana skuad Indonesia serta puluhan ribu penyokongnya di stadium pasti akan melancarkan serangan fizikal dan mental secara bertali arus.

Kapten skuad 1996 itu, Zainal Abidin Hassan awal-awal lagi sudah meramalkan situasi berkenaan akan berlaku tetapi beliau tetap yakin dengan kemampuan Rajagobal mendidik barisan mudanya supaya dapat menyerap segala tekanan.

“Inilah sebenarnya saat yang saya tunggu iaitu berharap skuad kali ini dapat menebus kekecewaan skuad 1996, sekali gus menjulang piala ini buat kali pertama,” katanya yang menerima anugerah pemain paling berharga pada edisi pertama kejohanan itu.

Seperti Zainal, begitu juga harapan bekas penjaga gol negara, Khairul Azman Mohamed yang tewas menerusi jaringan tunggal penyerang Thailand, Kiatisuk Senamuang pada final 1996.

“Kepada tonggak pertahanan serta penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat, teruskan aksi cemerlang anda, begitu juga harapan saya kepada barisan pemain lain. Jangan sesekali terganggu dengan provokasi penonton yang pasti akan cuba mengganggu rentak permainan skuad negara,” katanya.

Sementara itu, gandingan Zainal di barisan depan, Dollah Salleh pasti peluang skuad negara melakar sejarah 80 peratus sudah dalam genggaman tetapi nasihatnya, setiap pemain perlu memberikan fokus sepenuhnya serta menjaga disiplin sepanjang 90 minit permainan.

“Saya yakin jika ini dapat diterap semasa final kedua nanti, kita pasti akan juarai Piala Suzuki AFF,” katanya.

Bekas pemain pertahanan negara, Faizal Zainal yang masih cetek pengalaman beraksi pada final 1996 berkata, walaupun rata-rata skuad kendalian Rajagobal kini melalui situasi sama sepertinya, dia yakin tekanan bukanlah persoalan utama yang perlu dirisaukan pada aksi final hari ini.

“Tidak dinafikan mereka masih muda tetapi corak permainan seluruh pasukan, baik pada bahagian pertahanan mahupun serangan, sehingga kini menunjukkan Rajagopal sebenarnya sudah membentuk skuad yang matang,” katanya.

Kredit : http://www.hmetro.com.my/

0 comments:

Post a Comment

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))