Suami fail saman RM8 juta tuntut ganti rugi kematian isteri

December 31, 2010
KOTA BHARU – Suami kepada wanita yang mati kerana kerosakan organ dalaman akibat kapas yang tertinggal di dalam perutnya ketika bersalin melalui pembedahan 17 Ogos lalu, memfailkan saman tuntutan ganti rugi berjumlah RM8 juta di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.


Musa Abdul Kadir, 47, hadir kira-kira jam 10 pagi bagi menyerahkan saman itu terhadap Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sebagai defenden kedua kerana kecuaian hospital itu menyebabkan kematian isterinya, Aummil Khairi Abd Razak, 44.

“Saya plantif pertama memfailkan saman ini dan wakil kepada empat anak yang dinamakan plantif kedua, ketiga, keempat dan kelima sebagai bapa yang sah kepada mereka.

“Saman difailkan dengan menamakan doktor yang terbabit melakukan pembedahan sebagai defenden pertama dan USM defenden ketiga,” katanya di mahkamah, pagi semalam.

Musa yang berkhidmat penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kota Bharu mengemukakan ganti rugi am RM5 juta, ganti rugi khas, ganti rugi teladan atau teruk RM2 juta dan ganti rugi ‘aggravated’ RM1 juta.

“Faedah atas ganti rugi am, teladan dan teruk serta ‘aggravated’ pada kadar lapan peratus setahun daripada tarikh penyampaian proses saman sehingga tarikh pembayaran, ganti rugi khas pada kadar empat peratus dari tarikh mangsa meninggal dunia, 21 September lalu hingga penghakiman.

“Faedah penghakiman, kos peguam dan anak guam serta relief lain atau perintah mahkamah yang difikirkan sesuai berjumlah RM8 juta,” katanya.

Mengikut writ saman itu, plantif mendakwa defenden gagal menjalankan rawatan sewajarnya terhadap mangsa dan gagal memastikan peninggalan dalam rahim mangsa.

“Saya dakwa mereka gagal mengambil langkah perlu sehingga menyebabkan kecuaian dan tidak menggunakan kepakaran yang sewajarnya terhadap isteri saya,” katanya.

Sebelum itu, media melaporkan mangsa, Aummil Khairi meninggal dunia selepas 35 hari melahirkan seorang bayi lelaki, Nur Mohd Faiq yang kini berusia empat bulan di hospital berkenaan.

Selepas mengalami proses bersalin secara pembedahan itu, Aummil Khairi mendakwa berasa kesakitan yang amat sangat dan dipanggil untuk melakukan pembedahan kali kedua pada 22 Ogos kerana terdapat kapas yang tertinggal di dalam perutnya.

Sejurus selepas itu, sakit mangsa berterusan dan beliau koma dengan perut yang besar dan membengkak sehingga memaksa pembedahan kali ketiga dilakukan terhadapnya pada 8 September lalu.

Kredit : http://www.sinarharian.com.my/

0 comments:

Post a Comment

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))